Ibu Bapa Pemangkin Ujaran Pertama Kanak-Kanak
Proses pemerolehan bahasa dalam kalangan kanak-kanak merupakan prestasi manusia yang paling hebat dan menakjubkan. Oleh itu, perkembangan bahasa yang berlaku ketika kanak-kanak sedang membesar merupakan salah satu aspek yang seharusnya tidak luput daripada perhatian semua pihak iaitu ibu bapa khususnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan kanak-kanak dan sentiasa ada bersama-sama sepanjang kanak-kanak tersebut melalui proses tumbesaran mereka. Ibu bapa juga merupakan guru pertama bagi setiap kanak-kanak untuk mencapai kejayaan mereka secara berperingkat dalam proses pemerolehan bahasa pertama mereka. Persoalannya, sejauh manakah pengaruh keluarga atau ibu bapa dapat membantu meningkatkan proses pemerolehan bahasa pertama dalam kalangan kanak-kanak?
Menurut pendapat Awang Mohd Amin (1979), beliau
mengatakan bahawa umur kanak-kanak antara 1 hingga 5 tahun merupakan waktu
penguasaan bahasa yang paling kritikal. Dalam jangka masa kritikal ini,
kanak-kanak sangat mudah untuk menerima pengaruh bahasa pertama atau bahasa
ibunda yang diperkenalkan kepada mereka, terutamanya bahasa yang diamalkan atau
didedahkan kepada mereka sejak lahir lagi. Sebagai contoh, Bahasa Melayu
merupakan bahasa pertama kepada orang Melayu manakala Bahasa Cina merupakan
bahasa pertama kepada orang Cina dan sebagainya.
Namun begitu, terdapat segelintir golongan yang
menolak bahawa bahasa dikuasai oleh kanak-kanak melalui ransangan persekitaran
iaitu datangnya daripada ajaran ibu bapa. Menurut pandangan golongan mentalis
seperti Noam Chomsky (1959), beliau berpendapat bahawa setiap kanak-kanak
dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa atau dikenali sebagai “Language Acquisition
Device” (LAD) yang bersifat universal. Maka, melalui alat ini kanak-kanak
berpotensi secara semulajadi untuk mempelajari bahasa apa sahaja. Hal ini
berkait rapat dengan sebuah hipotesis yang dinamakan sebagai Hipotesis Nurani
yang mengatakan bahawa kanak-kanak tidak perlu mempelajari pengetahuan bahasa
pertama tetapi pengetahuan bahasa tersebut akan dikuasi secara semulajadi oleh setiap
kanak-kanak. Hal ini disebabkan oleh setiap kanak-kanak sudah mempunyai
pengetahuan bahasa yang bersifat universal di dalam akal budi masing-masing.
Apa yang perlu kanak-kanak lakukan hanyalah untuk menyesuaikan atau
mengadaptasikan pengetahuan bahasa universal yang sedia ada dalam akal budi
dengan pengetahuan bahasa ibunda yang diterima oleh mereka.
Berbalik semula kita kepada topik utama yang ingin
dikupas, iaitu berkenaan ujaran pertama kanak-kanak yang diperoleh melalui pendedahan
ibu bapa. Setiap bayi menggunakan tubuh mereka seperti menggerakkan tangan dan
kaki, menangis dan juga lain-lain cara untuk mengkomunikasikan keinginan,
keperluan, perasaan dan kecenderungan mereka. Walaupun sebahagian besar
kanak-kanak mulai bercakap dalam berbagai usia dan kelajuan yang berbeza, namun
secara umumnya, kanak-kanak mula belajar bahasa pertama mereka tanpa sedar dari
arahan orang tua atau pengasuh. Bahkan, kajian juga menujukkan bahawa
pembelajaran awal bahasa bermula dari dalam rahim. Sensitiviti bayi terhadap
bahasa sudah dibuktikan wujud sebelum bayi dilahirkan lagi. Hal ini dikatakan
demikian kerana, pendengaran janin mula berkembang sewaktu trimester kedua bersamaan
18 minggu dan pada trimester ketiga, janin sudah mula memberi respon kepada
ransangan bunyi. Maka, tidak hairanlah kebanyakan ibu-ibu mengandung sering
berinteraksi dengan bayi di dalam kandungan dengan cara mendengarkan alunan
muzik, alunan zikir serta bercakap-cakap dengan bayi sepanjang tempoh
mengandung seolah-olah bayi tersebut dengar dan faham akan sesuatu perkara yang
diperkatakan. Perkara ini kebiasaanya dilakukan oleh ibu bapa secara berterusan
dari ketika bayi masih berada di dalam kandungan sehinggalah bayi lahir dan juga
membesar.
Hal ini dikatakan demikian kerana ramai ibu bapa yang
percaya bahawa setiap apa yang dituturkan oleh mereka akan menjadi ikutan oleh kanak-kanak
tersebut dan secara tidak langsung akan membantu kanak-kanak tersebut
memperoleh bahasa pertama mereka dengan lebih cepat dan mudah.
Situasi ini berkait rapat dengan Teori Behavioris yang telah diperkenalkan oleh Ivan Pavlov dan diperkembangkan lagi oleh B.F Skinner dan Thorndike yang berpendapat bahawa kemahiran berbahasa diperoleh daripada perhubungan antara ransangan dan gerak balas yang akan menghasilkan perubahan tingkah laku sama ada positif atau negatif. Menurut Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F Skinner (1938), beliau turut menekankan kepentingan faktor persekitaran dalam pemerolehan bahasa pertama. Ransangan persekitaran disini merujuk kepada ibu bapa. Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan serta ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu.
Sebagai contoh, ibu bapa mengajar kanak-kanak yang berumur 6-12 bulan untuk bercakap bermula dengan satu suku kata yang paling mudah seperti “ma-ma” “pa-pa” “su-su” dan sebagainya. Ibu bapa akan mengagah kanak-kanak sehinggalah kanak-kanak tersebut mengulang kembali apa yang diperkatakan dengan perkataan yang tepat dan betul. Situasi ini akan berterusan sehinggalah kanak-kanak tersebut berjaya menghasilkan sebuah ayat yang kompleks dan bermakna apabila mencapai umur sekitar 4 hingga 5 tahun. Selain mengarah kanak-kanak untuk berucap, ibu bapa juga boleh menggunakan kaedah seperti membentuk semula, mengembangkan serta melabel. Kaedah membentuk semula adalah suatu cara dimana ibu bapa akan mengulang semula apa yang anak katakan atau mungkin menukarkanya menjadi suatu bentuk soalan atau pertanyaan. Manakala kaedah mengembangkan atau memperluaskan ialah menegaskan kembali perkataan yang disebut dalam bentuk lingustik yang sempurna dan betul. Kaedah melabel merupakan kaedah yang paling sering dilakukan oleh ibu bapa iaitu dengan menyuruh anak-anak mengenalpasti nama-nama objek dan menyebut setiap nama itu.
Setiap ibu bapa sudah tentu berasa sangat teruja dan gembira apabila si cilik mereka dapat menghasilkan suatu perkataan buat kali pertamanya. Oleh itu, untuk menggalakkan lagi si cilik mereka untuk terus fasih berkata-kata, ibu bapa seharusnya memberikan ganjaran serta menujukkan minat untuk mendengar setiap apa yang diperkatakan oleh si kecil mereka. Ganjaran yang diberikan pula adalah berbentuk pujian, senyuman, ciuman, tepukan tangan, pelukan dan lain-lain perkara yang boleh meransang kanak-kanak untuk terus bercakap. Hal ini bertujuan untuk mengukuhkan setiap perlakuan bahasa yang berjaya dilakukan oleh setiap kanak-kanak. Kesannya, lebih banyak suku kata atau perkataan yang akan dihasilkan oleh kanak-kanak dari semasa ke semasa. Namun begitu, setiap ujaran kanak-kanak yang tidak memuaskan boleh diperbetulkan oleh ibu bapa dengan cara mengurangkan atau menghapuskan ganjaran yang diberi. Melalui pembetulan ini, akhirnya kanak-kanak akan beransur-ansur mempelajari cara untuk membuat diskriminasi dalam menghasilkan perkataan mereka.
Pada umumnya, setiap kanak-kanak dapat memperoleh atau mempelajari bahasa secara berperingkat-peringkat bermula dari mereka masih bayi lagi. Justeru, amat pentinglah seseorang bayi itu mendapat pendedahan awal kepada pemakaian sesuatu bahasa melalui saluran orang yang paling dekat dengan mereka iaitu ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan mereka. Kesannya, pemerolehan bahasa pertama dapat diaplikasikan oleh kanak-kanak dengan lebih cepat dan mudah.
Rujukan
Norul Haida Bt Hj. Reduzan. (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.
Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkeflee Haji Yaacob. (2022). Bahasa dan Linguistik Komprehensif. Kelantan: Bunga Melayu Solution.
Retibasa (2010, Ogos 10). Cara Pemerolehan Bahasa Pertama. Diperolehi daripada http://retibasa.blogspot.com/2010/08/cara-pemerolehan-bahasa-pertama.html?m=1
Comments
Post a Comment