Kaedah Selami Bahasa Kedua



Terdapat pelbagai jenis bahasa yang digunakan oleh manusia di seluruh dunia. Bahasa merupakan salah satu alat komunikasi yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi di antara satu sama lain. Selain itu juga, penggunaan sesuatu bahasa juga merupakan salah satu cara bagi menguasai sesuatu ilmu dalam pelbagai bidang di dalam dunia ini. Setiap negara dalam dunia ini mempunyai bahasa Ibunda mereka yang tersendiri. Misalnya negara Malaysia yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda mereka. Umum mengetahui bahawa bahasa pertama sering dikuasai oleh seseorang secara langsung dan tidak formal melalui rangsangan persekitaran seperti bantuan ibu bapa. Kebiasaannya individu akan menguasai bahasa pertama mereka ketika mencapai lingkungan umur 5 tahun. Seterusnya, bahasa tersebut akan deperkukuhkan lagi melalui sistem yang lebih formal seperti pembelajaran di dalam bilik darjah dan sebagainya. Namun begitu, penguasaan bahasa bukanlah melibatkan bahasa pertama sahaja malah turut melibatkan bahasa kedua (selepas ini digunakan sebagai B2). Penguasaan dan pemerolehan B2 ini sering dikuasai oleh individu melalui pembelajaran secara formal sama ada di sekolah mahupun pembelajaran daripada ibu bapa itu sendiri. Kebiasaannya individu akan menguasai B2 melalui pengulangan latihan yang diberikan semasa pembelaran di bilik darjah. Setiap individu haruslah menguasai B2 ini bagi memastikan individu mencapai keperluan pada masa kini.

Terdapat pelbagai konsep B2 ini yang telah ditetapkan oleh golongan para ilmuwan ini. B2 boleh didefinisikan sebagai bahasa yang dipelajari selepas bahasa pertama atau bahasa ibunda manakala pemerolehan B2 merujuk kepada proses seseorang mempelajari bahasa selain bahasa ibunda (Abdullah Hassan,2007). Menurut Cook (1991), beliau mendefinisikan B2 sebagai bahasa yang dipelajari oleh seseorang individu sebagai tambahan kepada bahasa ibunda yang sedia ada. Tambahan pula, para ilmuwan yang lain juga seperti Kamaruddin (1988) dan Gass Selinkar (1994) memberi pandangan yang sama seperti Cook (1991) bahawa B2 adalah pembelajaran bahasa yang lain selain bahasa asli atau bahasa ibunda yang diperoleh. 



Umum mengetahui bahawa, B2 ini adalah bahasa yang mampu dikuasai oleh individu melalui pembelajaran secara formal. Oleh itu, Okmen dan Kilic (2016) telah menyenaraikan sebanyak 11 kaedah pengajaran bahasa yang boleh digunakan dalam pengajaran B2. Misalnya adalah; 


1. Kaedah Nahu Terjemahan

2. Kaedah Langsung

3. Kaedah Semulajadi

4. Kaedah Audio-Lingual

5. Kaedah Kognitif Kod

6. Kaedah Komunikatif dan Kaedah Eklektik

7. Kaedah Senyap

8. Kaedah Gerak Balas Fizikal Sepenuhnya

9. Kaedah Pandang Dengar

10. Kaedah Berasaskan Tugasan

11. Kaedah Berasaskan Kandungan

Namun begitu, dalam blog ini hanya memfokuskan kepada 3 jensi kaedah sahaja yang digunakan dalam sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi menguasai B2.


1.     Kaedah Nahu Terjemahan

Kaedah nahu terjemahan atau kaedah tradisional ini merupakan kaedah yang paling lama digunakan dalam pengajaran B2. Perkembangan kaedah ini bermula apabila kira-kira tahun 1960-an apabila ahli linguistic iaitu Laurent Metzger mula mengkaji bahawa bahasa itu adalah satu sistem dan bukan semata-mata perkataan. Kaedah ini mementingkan kemahiran menulis pelajar. Oleh itu, oleh itu kemahiran bertutur tidak difokuskan. Perkara yang diberi perhatian ialah ejaan dan penulisan dalam B2. Kosa kata akan didedahkan kepada pelajar dalam bentuk terasing daripada konteks. Pelajar akan menguasai nahu dengan cara hafalan dan membuat latihan serta menterjemahkan ayat daripada bahasa yang disasarkan. Kemudiannya, kata-kata disusun dalam ayat melalui hukum tatabahasa dan seterusnya dihafal oleh pelajar bagi membolehkan mereka menguasai B2 tersebut.

Laurent Metzger

Antara kelebihan kaedah ini, pelajar-pelajar boleh memahami nahu sesutau bahasa dan juga melatih pelajar menulis menggunakan bahasa yang betul. Selain itu, pelajar juga dapat menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya.

Kaedah ini juga tidak menggunakan masa yang panjang untuk diaplikasikan malahan tidak memerlukan bahan yang banyak dan membebankan guru serta pelajar. Guru dapat membentuk pelajar-pelajar membaca dan menterjemahkan makna buku-buku yang dibaca ke bahasa ibunda dan membolehkan pelajar menikmati nilai kesusateraan yang dibaca. Namun begitu, penterjemahan adakalanya menjadi sukar kerana tidak terdapat dua perkataan yang benar-benar sama ertinya dalam dua bahasa. Hal ini kerana makna seringkali tidak dapat dipisahkan dengan aspek budaya yang mendasari kedua-dua bahasa tersebut. 


2.     Kaedah Terus

Kaedah ini telah diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer (1920-1935). Kaedah ini mengutamakan prinsip-prinsip mengajar berdasarkan psikologi kanak-kanak. Kaedah terus juga dikenali sebagai kaedah tentera kerana kaedah ini mula digunakan untuk melatuh pegawai tentera dan diplomat dalam perang Dunia Kedua ketika dahulu. Pengajaran bahasa melalui kaedah ini memerlukan ilmu fonetik. Oleh itu, kaedah ini merupakan gabungan linguistik dengan pengajaran bahasa.

Kaedah ini dimulakan dengan menghubungkan murid-murid terus kepada bahasa yang hendak mereka pelajari. Mereka akan diperkenalkan dengan sistem bunyi bahasa itu. Sebutan penutur jati dijadikan model dan pertuturannya akan diikuti dan ditiru oleh murid-murid. Terjemahan langsung tidak digunakan. Pelajar juga tidak dibenarkan sama sekali menggunakan bahasa pertama dalam proses pembelajaran dan bahasa sasaran digunakan sepenuhnya. Apabila segala makna keadaan tidak difahami, guru akan menjelaskan kepada murid-murid dengan cara huraian, lukisan, aksi, perkataan seerti, perkataan berlawanan atau cara yang lain.

Menurut Salehuddin (2018), kaedah ini dapat menggalakkan pelajar menguasai bahasa lisan termasuklah sebutan seperti penutur naif serta menguasai kemahiran corak soal jawab dalam pembelajaran. Murid-murid juga akan menjadi lebih berani mengeluarkan idea dan pendapat dengan cara yang segera. Namun begitu, pada ketika ini, kaedah terus semakin kurang digunakan. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah ini tidak mementingkan bahasa tulisan. Bahkan, kosa kata abstrak tidak banyak didedahkan menyebabkan pelajar sukar mengaitkan sesetengah perkataan dengan maksudnya secara langsung. 


3.     Kaedah Audio-Lingual

Juga dikenali sebagai kaedah ‘dengar dan sebut’ yang mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1950-an. Kaedah ini mengutamakan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat audio seperti pita rakaman, compact disk dan piring hitam. Charles C. Fries merupakan pencetus kepada kaedah ini dan beliau menegaskan bahawa pembelajaran bahasa sepatutnya bermula dengan struktur bahasa iaitu tatabahasa. Asas kepada kaedah ini ialah ‘ransangan dan gerak balas’ yang didasari oleh golongan Behaviorisme. Ransangan yang dimaksudkan adalah berbentuk audio dan diperdengarkan kepada pelajar dalam bentuk ayat yang betul. Kemudiannya, pelajar akan memberikan tindak balas dalam bentuk peniruan sebutan. Pengulangan merupakan satu daripada prinsip utama dalam proses pembelajaran Behavioris. Oleh itu, pelajar akan melakukan proses pengulangan untuk memperkukuhkan struktur bahasa yang dipelajari.



Melalui pengalaman mendengar tersebut, murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa dan ayat yang didengar termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Pelbagai cara latih tubi yang boleh dilaksnakan:

  •  pengulangan - mengulang semula ransangan yang diperdengarkan.
  • ifleksi - menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang diperdengarkan kepada bentuk infleksi yang lain apabila diulang.
  • penggantian - menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang diperdengarkan kepada perkataan lain.
  • penyataan semula – mengolah semula ayat yang diperdengarkan sebagai ransangan.

Oleh itu, murid-murid lebih mudah untuk mengingat maklumat yang didengar. Kesannya, murid-murid juga mudah mempelajari bunyi-bunyi linguistik yang berbeza serta nada dan intonasi bahan yang diperdengarkan kepada mereka dalam B2.

Sebagai kesimpulannya, pengajaran dan pembelajaran B2 memerlukan penelitian khusus dari pelbagai aspek terutamanya aspek pembinaan kurikulum serta pemilihan kaedah atau pendekatan yang bersesuaian dan tepat. Hal ini dapat membantu pelajar untuk menyelami B2 dan seterusnya menghasilkan penutur kedua yang lebih baik.


Rujukan

Norul Haida Bt Hj. Reduzan. (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkeflee Haji Yaacob. (2022). Bahasa dan Linguistik Komprehensif. Kelantan: Bunga Melayu Solution.

Koleksi Minda (2012, Januari 12). Kaedah Pengajaran. Diperolehi daripada Koleksi Minda: Kaedah Pengajaran (bkree66.blogspot.com)

Wadah Pelajar (2012, Januari 5). Kaedah Terus. Diperolehi daripada WADAH PELAJAR IPG: Kaedah Terus (pengajian-ipg.blogspot.com)

Comments

Popular posts from this blog

Kecelaruan Bahasa: Apa Itu Disgrafia