Kecelaruan Bahasa: Apa Itu Disgrafia
Disgrafia merupakan salah satu daripada jenis-jenis disleksia. Secara umumnya, disleksia terbahagi kepada beberapa jenis iaitu hiperleksia, diprasia, disleksia visual, disleksia auditori, diskleksia visual-auditori dan termasuklah disgrafia yang telah dinyatakan. Sebelum kita pergi lebih jauh lagi tentang disgrafia, mari kita fahami terlebih dahulu mengenai apa itu disleksia…
Disleksia atau juga
dikenali sebagai kecelaruan bahasa merupakan sejenis masalah pembelajaran yang
dihadapi oleh sesetengah kanak-kanak. Secara literalnya, disleksia bermaksud
‘kesukaran dalam berbahasa’ (Ott dalam Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan,
2006). Namun begitu, kanak-kanak disleksia hanya mengalami gangguan dalam
pembelajaran ketika di peringkat kanak-kanak dan ia bukanlah dikategorikan
sebagai suatu penyakit. Kebanyakan golongan atau masyarakat berfikiran bahawa
disleksia ini hanya melibatkan kepada gangguan pembacaan dan pertuturan sahaja.
Namun begitu, kanak-kanak disleksia kebiasaanya turut mengalami gangguan dari
aspek pengejaan, pengiraan dan penulisan walaupun mereka mempunyai pemikiran
yang normal seperti kanak-kanak yang lain. Hal ini disebabkan oleh penghidap
disleksia mengalami kesukaran untuk menterjemahkan bunyi percakapan kepada
abjad dan perkataan sehingga menjejaskan kemahiran pembelajaran seperti
mengeja, mengira dan menulis. Fokus masalah yang akan diterangkan lebih lanjut
adalah mengenai masalah dalam menulis di kalangan kanak-kanak iaitu disgrafia.
Definisi Disgrafia
Kemahiran dan penguasaan
menulis merupakan salah satu keupayaan atau kebolehan yang perlu dikuasai
kanak-kanak pada peringkat permulaan pembelajaran. Hal ini bukan hanya
melibatkan aspek teknikal dan mekanikal (menulis) semata-mata tetapi penulisan
juga turut melibatkan penyatuan aspek psikologi dan kognitif (memperoleh idea). Namun begitu, terdapat segelintir kanak-kanak
yang menghadapi masalah menulis iaitu disgrafia. Perkataan ‘disgrafia’ dipinjam
daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu dysgraphia. Disgrafia terdiri
daripada dua perkataan Greek iaitu dys yang membawa maksud ‘masalah’ dan
graphia yang beerti ‘tulisan tangan’. Lazimnya, disgrafia ditakrifkan
sebagai masalah pembelajaran yang sering dikaitkan dengan kesukaran dalam
mengeja, tulisan tangan tidak kemas atau sangat buruk, tidak betul dan sukar
dibaca serta mempunyai masalah dalam memindahkan maklumat pada kertas.
Menurut Richards (1999),
disgrafia adalah satu gangguan dalam penulisan yang disebabkan oleh masalah-masalah
daripada pemprosesan neurologi dan pergerakan enjin yang lambat yang asalnya
bergerak secara automotik. Ia juga dikenali sebagai kesan-kesan lesu yang
dilihat sepanjang proses dalam menyampaikan sesuatu idea daripada pemikiran
untuk satu produk yang ditulis tangan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan
kanak-kanak menghadapi masalah dalam proses menulis kerana tidak boleh
menterjemah pemahaman bahasa yang diterima mereka kepada bentuk simbol atau
huruf. Hal ini dikatakan demikian kerana proses menulis memerlukan satu set
kemahiran motor halus dan kemahiran memproses maklumat (Deuel,1995).
Seperti semua masalah
pembelajaran, masalah menulis juga boleh menjejaskan pencapaian akademik serta
harga diri kanak-kanak dan juga masa depan mereka. Hal ini dikatakan demikian
kerana di peringkat sekolah, setiap pelajar memerlukan tahap kecekapan dan kemahiran
menulis yang baik dan tinggi. Sebagai contoh, ketika kanak-kanak mula masuk ke alam
sekolah rendah, kegiatan menulis akan bertambah banyak kerana mereka
dikehendaki untuk menulis esei, menjawab soalan ujian yang memerlukan penulisan
perenggan pendek, membuat kerja sekolah dan sebagainya. Namun, apabila
kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk meluahkan pengetahuan, pemahaman bahasa
dan perasaan mereka dalam bentuk penulisan, mereka juga turut sukar untuk menguasai
ilmu dalam semua mata pelajaran. Hal ini secara tidak langsung akan
mengurangkan keyakinan diri serta menimbulkan tekanan dalam diri kanak-kanak
yang menghidap disleksia. Sudah tentu, mereka akan berasa malu terhadap
rakan-rakan lain yang sudah menguasai kemahiran menulis dengan lebih baik. Situasi
ini akan menyebabkan kanak-kanak semakin hilang minat untuk belajar dan
seterusnya membuat perangai untuk tidak mahu hadir ke sekolah kerana mereka merasakan
bahawa proses pembelajaran di sekolah adalah satu perkara yang amat sukar dan
rumit buat mereka.
Ciri-ciri Kanak-kanak Disgrafia
Terdapat beberapa ciri
yang jelas untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami disgrafia. Antaranya
ialah, kanak-kanak disgrafia tidak dapat membaca tulisan walaupun mereka diberi
masa yang cukup untuk menyelesaikan tugasan membaca mereka. Selain itu, tulisan
kanak-kanak yang mengalami disgrafia juga adalah tidak konsisten dalam
pembentukan tulisan. Sebagai contoh, tulisan mereka akan bersambung-sambung
antara satu perkataan dengan satu perkataan yang lain dan saiz bagi setiap
huruf adalah tidak sama. Penggunaan huruf besar dan huruf kecil juga masih
bercampur.
Menurut Barbara, Judith
dan David pada tahun 2002, setiap kali kanak-kanak disgrafia menulis sesuatu
perkataan, mereka sering menulis perkataan yang tidak habis ditulis dan dieja
malah kadang-kala kanak-kanak ini tertinggal satu patah perkataan dalam sebaris
ayat. Apabila mereka menulis ayat pula, kedudukan perkataan-perkataan dalam
ayat tersebut tidak selaras pada halaman dan baris. Oleh itu, hasil tulisan
mereka akan kelihatan tidak kemas dan sukar untuk dibaca orang lain. Bukan itu
sahaja, kanak-kanak disgrafia juga mengalami masalah dalam menulis huruf
tertentu kerana huruf tersebut akan ditulis secara terbalik. Misalnya huruf (p
dan q) serta huruf (b dan d).
Bukan itu sahaja,
ciri-ciri kanak-kanak disgrafia juga dapat dilihat melalui cara mereka memegang
alat tulis seperti pen dan pensil. Sebagai contoh, mereka memegang pensil
sangat hampir dengan kertas dan menulis menggunakan lebih daripada tiga jari.
Cengkaman tangan mereka ketika memegang pensil juga agak kekok. Kanak-kanak
disgrafia juga mudah dan cepat letih ketika menulis disebabkan oleh cara mereka
memegang pensil dengan terlalu kuat dan menekan pada kertas sehingga
menyebabkan tangan mereka berasa lenguh.
1. Latihan Psikomotor
- Kanak-kanak disgrafia digalakkan menggunakan perlatan alat tulis yang selesa dipegang.
- Contohnya: alat tulis seperti pensil yang bersaiz besar.
- Ibu bapa dan guru haruslah menggunakan daya tarikan seperti pensil yang berwarna-warni, kertas yang besar dan mempunyai garisan bagi menarik perhatian mereka untuk melakukan latihan psikomotor ini.
- Penggunaan garisan di atas kertas dapat membantu mereka menulis di atas garisan yang sama.
2. Kaedah Multisensorin (VAKT)
- Kaedah Multisensori adalah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran serentak yang menjurus kepada aplikasi visual, auditori dan kinestetik-taktil (mendengar, bertutur, melihat, menulis).
- Kaedah ini lebih mudah digunakan oleh ibu bapa dan guru melatih kanak-kanak disgrafia dalam bentuk menulis dan menuturkan idea mereka.
- Penggunaan audio dan media dapat menarik perhatian mereka bagi memperkukuhkan latihan menulis.
- Kaedah ini juga dapat membantu kanak-kanak bagi meningkatkan kemahiran mendengar dan menulis.
3. Pengurusan Grafik
- Kaedah pengurusan grafik bertumpu kepada penyusunan idea yang hendak ditulis dengan menggunakan kaedah peta minda.
- Kebiasaannya, pengurusan grafik dapat membantu kanak-kanak disgrafia bagi menghasilkan karangan pendek yang lengkap melalui peta minda yang dihasilkan oleh mereka.
4. Latihan Terapi
- Terdapat 5 ransangan asas iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau, rasa dan ransangan sendi.
- Selain itu, terapi ini boleh dilakukan dalam bentuk cara kerja seperti mengajar cara memegang alat tulis dengan betul dan latihan menguatkan otot tangan.
- Ransangan asas mampu diransang secara berkesan untuk perkembangan minda kanak-kanak.
Kesimpulannya, masalah
disgrafia juga dikategorikan sebagai salah satu kecelaruan bahasa di bawah
kategori disleksia. Masalah penulisan yang dialami oleh kanak-kanak disgrafia
bukanlah suatu penyakit yang berpanjangan tetapi masih boleh dirawat dengan
bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan guru-guru. Ibu bapa dan guru-guru
seharusnya mendengar suara hati dan perasaan kanak-kanak disgrafia, memberi
penghargaan kepada usaha yang ditunjukkan. Hal ini dapat membantu mereka
matlamat peribadi untuk diri mereka sendiri, dan membantu mereka mencapai
kejayaan dalam bidang ataupun aspek tertentu dalam hidup mereka.
Norul Haida Bt Hj. Reduzan. (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.
Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkeflee Haji Yaacob. (2022). Bahasa dan Linguistik Komprehensif. Kelantan: Bunga Melayu Solution.
Jurnal Penyelidikan Tindakan (2010). Disgrafia dan Cara Membant. Diperolehi daripada jurnal_pt_2010-libre.pdf (d1wqtxts1xzle7.cloudfront.net)
Comments
Post a Comment